Zizan Dan Johan Jauh Lebih Bagus


Walaupun Jep Sepahtu berjaya merangkul Anugerah Artis Lawak Lelaki Paling Popular di Malam Anugerah Lawak Warna 2013 (ALW 2013), Jep tetap berasakan Johan dan Zizan Razak jauh lebih bagus daripada dia.

“Alhamdulillah, malam ini rezeki berpihak kepada saya. Mengenai perasaan saya dapat menewaskan Johan dan Zizan, saya tetap rasakan mereka adalah yang terbaik. Saya rasakan masih jauh lagi perjalanan saya untuk sampai ke tahap mereka. Mereka sudah jauh lebih bagus. Saya yang sedang berada di tahap sekarang pun sudah bersyukur dengan kurniaan rezeki yang saya dapat dan saya akan terus mencuba untuk memberikan yang terbaik,” katanya memetik laporan di portal Gua.

Menerusi anugerah itu, Jep berjaya menewaskan nama-nama besar seperti Johan, Zizan, Dato AC Mizal dan Yus Jambu.

Selain mengatakan anugerah yang diterimanya itu akan menjadi pemangkin untuk dirinya terus berusaha memberikan yang terbaik buat penyokongnya, Jep turut merakamkan rasa penghargaan terhadap rakan sekumpulannya, Shuib yang merupakan gandingan terbaiknya sepanjang bergelar artis komedi.

“Saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Shuib. Dia merupakan gandingan yang paling sempurna untuk saya. Saya berharap selepas ini, dia bakal mendapat anugerah ini pula,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Jep dan Shuib bakal kembali menjadi peserta Maharaja Lawak Mega 2013 yang bakal menemui penonton penghujung tahun ini.

Oleh: AUDREY LEE

Posting Komentar