Siasatan terhadap Rafizi adalah pelanggaran Akta Bafia kata Surendran

May 30, 2012
KUALA LUMPUR, 30 Mei – PKR melihat tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) memanggil Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli untuk memberi keterangan berhubung pendedahan beliau ke atas pendedahan kes Pusat Fidlot Nasional (NFC) adalah pelanggaran terhadap peruntukan Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) 1989.

Naib Presiden PKR, N. Surendran (gambar) menegaskan, arahan yang dikeluarkan oleh BNM itu adalah tidak sah kerana akta itu bukan digunakan untuk melindungi seseorang yang melakukan perbuatan jenayah.
“Arahan ini adalah tidak sah dan melanggar perlembagaan. Ini adalah penyalahgunaan Bafia itu sendiri kerana akta itu bukan digunakan bagi melindungi kegiatan jenayah.

“Rafizi telah melakukan pendedahan jenayah, dan suami menteri sendiri telah didakwa di mahkamah atas kesalahan yang dilakukannya.
“Bagaimana seseorang yang membuat pendedahan penyelewengan NFC boleh dipanggil untuk memberi keterangan atas kesalahan jenayah?” soalnya lagi.
Turut mewakili Rafizi adalah Pengarah Guaman PKR, Latheefa Koya.

Rafizi boleh dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM3 juta jika di dapati bersalah di bawah peruntukan Akta Bafia tersebut.
“Ini adalah serius. Ia (Bafia) bukan untuk melindungi pesalah jenayah daripada menyalahgunakan dana awam.”

Rafizi yang ditemani Latheefa dan Surendran dilihat memasuki kawasan perkarangan Bank Negara sekitar jam 3 petang untuk memberi keterangan.
Rafizi sebelum itu di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya berkata, beliau telah menerima secara peribadi notis tuntutan untuk memberikan keterangan di bawah Seksyen 87(1)(a) Bafia 1989 hari ini.
Beliau turut menambah, pihaknya “menghormati arahan Bank Negara itu, namun khuatir jika diberikan tekanan terus-terusan terhadapnya dan juga Johari Mohamad, pemberi maklumat kepadanya berhubung skandal NFC.”

Malah, Rafizi berkata, beliau turut menyuarakan perasaan hairan mengapa BNM tidak menyiasat Pengerusi NFCorp, Datuk Seri Salleh Ismail dan keluarganya kerana terang-terangan telah melakukan pemindahan wang rakyat secara tidak sah ke luar negara.
“Perkara ini diakui mereka, dan bukankah ini perlu disiasat oleh Bank Negara di bawah Akta Pengubahan Wang Haram?” soal Rafizi ketika sidang media di pejabat PKR sejam sebelum memberi keterangan dengan BNM.
The Malaysian Insider

Posting Komentar